Saturday, October 17, 2009

jadilah pejuang yang menang

salam ..asif jiddan..atas kelemahan dan kekurangan diri, lama betul biarkan ruangan ini kaku tak terimarah..moga pengunjung tak bosan untuk berkunjung ke ruangan ini...
tq..

"Jadilah Pejuang Yang Menang"



gambar hiasan jak


Setiap pejuang tentunya mengharapkan kejayaan. Tapi sayang ada pejuang-pejuang Islam yang tertipu dengan erti kemenangan. Kadang-kadang terjadi, mereka tertipu dengan wasilah atau alat perjuangan. Mereka menyangka mereka sudah mendapat kemenangan, sedangkan mereka baru berjaya mendapatkan alatnya sahaja. Mereka lupa kepada matlamat sebenar perjuangan.Contohnya ada yang menganggap pembangunan ekonomi adalah langkah asas dalam membangunkan Islam. Kononnya dengan utuhnya ekonomi umat Islam maka utuhlah Islam itu sendiri. Malangnya, setelah berjaya dalam bidang ekonomi, yang terbangun dalam diri mereka hanyalah material, tapi Islam tidak juga terbangun. Syariat Islam tidak juga dapat ditegakkan,bukan saja dalam masyarakat bahkan dalam diri.Ada juga pejuang yang menganggap apabila sudah mendapat kuasa, mereka sudah menang. Mereka terlupa matlamat perjuangan yang sebenarnya. Walaupun dunia ini jatuh dalam genggaman mereka, tetapi jika masyarakatnya tidak dapat diubah kepada pengamalan Islam yang sempurna, maka sebenarnya mereka masih kalah.

Sejarah menceritakan para pengikut Thalut lupa pada perjuangan setelah terjumpa sungai. Walaupun dipesan-pesan oleh Thalut agar jangan berlengah-lengah di tebing sungai, namun ramai juga yang enggan meneruskan perjalanan dan ingin memulakan penghidupan baru di tebing sungai itu. Sebenarnya perkara ini berpunca daripada beberapa kesilapan para pejuang itu sendiri antaranya :
? Tugas sebenar seorang pejuang.
? Kurang memahami matlamat perjuangan.
? Tiadanya keikhlasan dalam perjuangan.
? Dalam hati mereka masih ada cinta dunia, ada tujuan-tujuan peribadi dalam perjuangan, ingin kedudukan, pengaruh dan sebagainya.

Bila ramai individu begini dalam perjuangan, perjuangan itu akan hanyut seperti hanyutnya pondok buruk dilanda air bah besar. Malanglah jika ini terjadi, di dunia terhina manakala di Akhirat terseksa. Seseorang pejuang itu mesti tahu bahawa dia mempunyai dua tugas.

Pertamanya membaiki diri dan kedua membaiki masyarakat. Matlamat perjuangan Islam ialah menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Oleh itu perlu ditegakkan kalimah Allah dalam diri dahulu.Inilah perjuangan pertama yang perlu ditempuhnya. Peribadi pejuang adalah lambang kepada perjuangan. Sikap dan perlakuannya merupakan lisanul hal yang menjadi contoh kepada orang-orang yang didakwahnya. Seorang pejuang yang mengajak orang kepada Islam tetapi dirinya sendiri tidak menggambarkan peribadi mukmin yang sejati, samalah seperti bapak ketam yang mengajar anaknya berjalan betul.



Juga penting dalam perjuangan ialah bantuan Allah. Ia penentu kepada kejayaan itu sendiri. Syarat untuk mendapat anugerah rahmat dan pertolongan-Nya ialah taqwa sepertimana
firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah penolong orang yang bertaqwa.”
Al Jathiyah : 19
Untuk menjadi pejuang yang bertaqwa, seseorang itu perlu menempuh jalan yang rumit. Secara ringkasnya ada lapan syarat menuju taqwa:

1. Perlu ada kesedaran Islam. Berlapang dada menerima syariat Islam. Hasil daripada kesedaran itu, mendorongnya mencari ilmu untuk melengkapkan diri sebagai hamba Allah yang diredhai-Nya.

2. Memahami Islam itu sendiri. Kefahaman lahir daripada ilmu yang dicari tadi. Ilmu yang terbaik terhasil daripada gabungan teori dan pengalaman. Kefahaman dalam perjuangan adalah penting agar tidak tersilap langkah. Kefahaman boleh ditanam melalui pembacaan, menghadiri kelas-kelas pengajian dan juga pengalaman.

3. Yakin dengan apa yang telah difahami itu. Contohnya, setelah faham dan yakin hanya Islamlah agama yang benar sebagaiman firman-Nya:
“Agama yang benar disisi Allah ialah Islam.”

Maka berlandaskan keyakinan inilah muncul peribadi yang kental jiwanya, hatta nyawa pun sanggup dijadikan galang ganti untuk mempertahankan Islam yang dicintai. Hasil daripada keyakinanlah maka para sahabat sanggup berhabisan harta, menanggung penderitaan dan berjuang hingga ke titisan darah yang terakhir. Inilah pentingnya keyakinan dalam membina taqwa.

4. Sanggup melaksanakan apa yang diyakini itu. Jika kita yakin hanya Islam agama yang benar, yang boleh menyelesaikan segala persoalan hidup maka kita mesti sanggup untuk melaksanakan hukum-hakam Islam serta sanggup pula memperjuangkannya. Misalnya kita sudah yakin menutup aurat itu wajib, maka kita mesti sanggup menunaikannya. Kesanggupan ini tanda perubahan pada diri. Perubahan pada pengamalan adalah titik tolak menuju taqwa.




5. Mujahadatunnafsi. Namun inilah yang paling sukar ditempuhi, kerana nafsu ialah musuh manusia yang paling jahat. Ia tidak berbatang tubuh yang boleh dikeronyok sampai mati, sebaliknya ia ada dalam diri. Allah telah memberi amaran tentang tipuan nafsu yang jahat ini sepertimana firman-Nya yanng bermaksud :
“Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.”
(Yusuf : 53)
Nafsu umpama daki yang melekat di badan, namun menghilangkannya tidak semudah mencuci daki. Ia perlu digosok, dibersihkan dan disental setiap masa. Mujahadatunnafsi adalah jihad yang paling besar dan berterusan.

6. Istiqamah beramal. Ada tiga perkara yang perlu diberi perhatian iaitu :
? Mengekalkan amalan walaupun sedikit.
? Memilih amalan yang berterusan untuk diri.
? Mempelbagaikan amal walaupun sedikit.


Amalan yang istiqamah akan memberikan kesan umpama air yang dititiskan ke batu yang keras; sekeras-keras batu pun akan lekuk juga akhirnya. Maka amalan yang istiqamah akhirnya akan membuahkan iman dan akhlak serta akan menjadi benteng daripada godaan nafsu dan syaitan yang tidak pernah rehat.

7. Ada jemaah

8. Di samping semua syarat di atas, kita hendaklah senantiasa berdoa kepada Allah semoga Allah memelihara dan memberi taufiq kepada kita.

Seorang pejuang yang sudah berjaya mendapat taqwa, ertinya dia sudah mendapat kejayaan yang tidak ternilai. Taqwa adalah syarat utama untuk berjaya dalam membaiki masyarakat dan yang paling penting untuk mendapat kemenangan hakiki iaitu kemenangan di Akhirat sepertimana firman Allah yang bermaksud :

“(Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai dan memasukkan kamu ke tempat tinggal yang baik di dalam Syurga Adnin. Itulah keuntungan (kejayaan) yang besar.”
(Surah As Shoff : 11-12)



moga kita mampu meletakkan diri kita dalam kalangan orang yang beruntung.

No comments:

Post a Comment