Monday, May 21, 2012

Ahlan Wasahlan ya Rejab : Di sebalik bulan Rejab


Apabila tiba sahaja bulan Rejab maka banyak soalan berkaitan amalan-amalan sunat dan keistimewaan pada bulan Rejab. Ada dua buah buku yang baik untuk di telaah tentang masalah ini.

1- Kitab “Menunaikan Kewajipan menjelaskan rekaan para pereka (hadis palsu) tentang Kelebihan Bulan Rejab.”
(أداء ما وجب من بيان وضع الوضاعين في رجب) ” Oleh Ibnu Dihyah Al-Kalbi [546-633H]

2- Kitab (تبيين العجب بما ورد فى فضل رجب) Oleh: Al-Hafiz Ahmad Bin Ali bin Hajar Al-Asqalani [W852H]

Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar rh dalam Kitabnya ‘Tabyiin Al-’Ajab Bima Warada Fi Fadli Rajab” – (Menyatakan Keajaiban terhadap riwayat yang menyebut tentang Kelebihan Bulan Rejab): “Tidak ada hadis Sahih yang boleh dibuat hujjah menyebut tentang kelebihan Bulan Rejab, Puasa padanya juga berpuasa pada masa yang tertentu dalam Bulan Rejab”.

sumber : http://www.abuanasmadani.com/?p=1017 [laman sesawang ust Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman]


namun kita sebagai umat islam perlu tahu terdapat beberapa peristiwa Penting telah yang berlaku dalam bulan Rejab :

1. Hijrah Pertama Dalam Islam
Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung apabila pihak Musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Baginda dan orang yang beriman. Lalu Rasulullah memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.Tujuan hijrah ini untuk menyelamatkan iman, keselamatan diri dan mencari tapak baru untuk agama Islam berkembang. Di antara yang berhijrah ialah Saidina Othman RA dan Isterinya Roqiah anak Rasulullah dengan jumlah kesemuanya adalah 14 orang. Habsyah dipilih kerana rajanya dikenali dengan sikap terbuka dan bertoleransi.

2. Israk dan Mikraj
Israk dan Mikraj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmaqdis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Terdapat khilaf ulamak mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulamak bersepakat menerima ianya berlaku pada 27 Rejab. Tetapi berlakunya peristiwa itu tidak penting kerana apa yang lebih penting ialah umat Isla wajib meyakini bahawa peristiwa ini adalah benar-benar berlaku ke atas diri Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al quran dan hadis sahih.

3. Peperangan Tabuk
Peperangan Tabuk berlaku dalam tahun 9 hijrah di satu kawasan bernama Tabuk di utara Semenanjung Arab dengan bala tentera Rasulullah SAW seramai 30,000 orang. Akhirnya peperangan tidak berlaku kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi pelbagai cabaran.Ia juga peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

4. Pembebasan Baitul Maqdis
Baitul Maqdis telah dibuka pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat di zaman pemerintahan Abbasiyah,orang kristian(tentera Salib) telah melakukan serangan bertubu-tubi ke atas Baitul Maqdis dan akhirnya berjaya ditawan setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah mendudukinya selama 50 tahun sebelum dibebaskan kembali tentera Islam di bawah panglima perang Salehuddin Al Ayubi yang berjaya ditawan pada hari Jumaat 27 Rejab 583H. Pada tahun 1967/1387H, umat Yahudi pula menawan Baitul Maqdis dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5.Lahirnya Imam Syafie RH
Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestine pada tahun 150H bersamaan 767M. Merupakan salah seorang daripada imam mazhab yang empat dan Malaysia adalah antara negara yang majoriti mengamalkan mazhab syafie. Salah satu peninggalan beliau yang amat berharga dan tidak ternilai harganya hingga menjadi rujukan hingga kini ialah Kitab Al Umm.

"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw, katanya : Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah saw berkata : Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah dibulan Haram, maka sesungguhnya didalamnya dari Taubat Allah swt keatas satu kaum, dan terdapat taubat didalamnya untuk satu kaum yg lain"(Riwayat Ahmad)

sebagai kesimpulannya, amalan-amalan di bulan Rejab adalah sama seperti amalan-amalan di bulan-bulan lain. Perkara yang membezakannya ialah bulan ini tergolong dalam bulan-bulan haram yang mana kezaliman dan peperangan tanpa sebab amat dimurkai oleh Allah Ta’ala berbanding dengan bulan-bulan lain. Namun tidak menjadi kerugian untuk kita mempersiapkan diri dalam mempertingkatkan amal ibadah kita,dengan erti kata yang lain mempersiapkan diri kita sebagai tetamu ramadhan yang akan datang.

wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment