Photobucket

Monday, July 20, 2009

ISRA' MIKRAJ perjalanan luar Pemikiran,Satu KEBENARAN!!

Sempena 27 rejab 1430h,..

Masih ingat lagi sebahagian berkenaan sirah nabi ,peristiwa isra’mikraj…
Flash back sikitla..Masa tue masih muda lagi.. baru form 3…baru nak berjinak-jinak dengan kekeluargaan yang dinamakan ‘usrah’ walaupun tak faham apa benda usrah nie..tak kesah..sistem dalam kepala otak masa tue ‘sistem ikut-ikut kawan jak’..tak sah kalo tak ikut kawan..teruk betul kan..tapi Alhamdulillah..lepas beberapa lama kemudian fahamlah juga sedikit demi sedikit yang dimaksudkan usrah tue..nasib baik terikut benda yang bagus kan..syukur Alhamdulillah..



Lets Continue… Ingat lagi hari selasa malam rabu,7hb Disember 2004,jam 10 malam..kat Surau Nurul Huda kg. Airport Lama Tawau(detail sebab tercatat kat diari islamku yang baru kubeli tahun tue dan masih ada sampai sekarang..hehe)nama kg. pelik tapi di kg. nie la ¾ dari umurku kuhabisi dengan pelbagai perkara taw..malam tue,dudukla kami berenam(aku,yusri,joni,hanafi,azman,shahrilsal) mendengar pengisian yang disampaikan oleh cikgu arifin(abg arifin)…



Bang Arifin (naqib masa tue) buka sedikit perbincangan,”Adik-adik tahu tak sedikit sebanyak berkenaan dengan peristiwa isra’ mikraj? Dan apa peristiwa yang berlaku kat umat islam masa tue?”oh.., kalo tak silap isra’ tue perjalanan nabi dari masjidil haram ke masjidil aqsa..mikraj tue perjalanan nabi dari masjidil aqsa ke sidratul muntaha kat langit ke-7,”pantas yusri(tua setahun dari aku)bagi respon ..”nabi muhammad naik buraq masa tue kan,”adiknya shahril(muda setahun dari aku) pulak menyampuk..hebat dua orang temanku nie..tak macam aku yang asyik-asyik lambat pick-up ..”bagus, apa yang kamu dua cakap tue ..betul,abg yakin semua tahu tentang peristiwa isra’ mikraj nie kan..Cuma abg nak highlightkan tentang penerimaan orang islam masa itu…bayangkanlah,masa tu,ramai yang meragui apa yang diceritakan oleh nabi s.a.w berkenaan peristiwa yang menimpa diri baginda s.a.w..

ya la kan…mana taknya.. logical thinking bagi manusia takkan berupaya memikirkan sesuatu yang melebihi luar batas pemikiran mereka…hanya orang islam yang beriman(yakin,percaya tanpa ragu) kepada Rasulullah s.a.w sahaja yang akan mempercayai apa yang disampaikan oleh Rasul ALLAH,Muhammad s.a.w masa tue ..masa tue saidina abu bakar merupakan orang pertama yang mempercayai kebenaran peristiwa isra’mikraj tersebut..sedang sebilangan yang lain masih meragui apa yang berlaku”..

Subhanallah..Maha Suci ALLAH,TUHAN yang mampu menjadikan sesuatu perkara atas kehendakNYA . ..

“biklah,Abang bagi satu analogi,.."PERJALANAN SI SEEKOR SEMUT'



Alkisah,terdapat sekelompok semut yang menempati kawasan di satu sudut bilik sebuah rumah di tawau,sabah…Pada suatu hari,semut A keluar dan memasuki kocek kot tuan punya bilik..kebetulan, selepas itu di pagi hari yang sama,si tuan kena menghadiri satu meeting yang tergempar di bangunan KLCC,di tingkat paling atas(andaian)..

Jadi,si tuan pun bergegas menaiki pesawat peribadi dan terus menuju ke bilik meeting kat KLCC..selang lebih kurang 3 jam perjalanan,si tuan pun sampai ke destinasi dan meneruskan agendanya..2 jam meeting berlalu,si tuan pun langsung sahaja balik ke rumahnya di tawau..so,hitung2 tempoh perjalanan..lebih kurang 9 jam (1/2 hari masa peristiwa berlaku)…betul tak?..masih ingat dengan semut A yang ada kat kocek kot si tuan?..semut tue pun keluar dari kocek kot tersebut dan menemui kaum kerabat dan konco-konconya.



”Hai,aku dari melawat bangunan KLCC nie..siap naik kat tingkat atas lagi..bla..bla..bla..semut A pun ligat bercerita tentang lawatannya ke bangunan KLCC..huh!sampai berkeringat semut yang lain kerana tidak percaya cerita si semut A tadi..ya la..seekor semut?tak kan mampu pergi ke satu tempat yang nun jauh di seberang lautan dengan mengambil masa selang ½ hari?sedangkan nak jalan dari bilik ke halaman rumah pun mengambil masa yang agak lama..inikan pula pergi semenanjung malaysia..siap merentasi laut china selatan lagi tue.. Tak logik,tak logik..

Emm!logik tak logik hakikatnya semut A memang pergi ke sana kan..tak logik dari aspek pemikiran si semut saja..tapi kebesaran ALLAH s.w.t meliputi apa yang ada di sekalian alam,aturan ALLAH s.w.t..tak siapa yang mampu menyangkal..dengan izin dari-NYA..tak mustahil untuk berlakunya sesuatu perkara yang mustahil kat dunia nie…”

harap-harap,adik semua faham apa yang cuba abang sampaikan ya.” Pengharapan bg arifin kepada kami…

Huh!..

Alhamdulillah dapat juga mempertajamkan sedikit minda berkenaan kebesaran ALLAH s.w.t malam tue..(aisemen..rindu pula dengan teman-teman dulu)...




Alhamdulillah..dalam kesempatan kali nie juga saya nak kongsikan
berkenaan isra' mikraj kat bawah..moga ada manfaat buat kita semua..






Isra’ dan Mi’raj: Mukjizat Rasulullah Yang Kedua Terbesar
Oleh : Hafiz Firdaus Abdullah

Peristiwa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam Isra’ dari al-Masjid al-Haram ke al-Masjid al-Aqsa dan Mi’raj ke langit adalah salah satu mukjizat terbesar yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada baginda. Malah boleh dikatakan bahawa ia adalah kemukjizatan baginda yang kedua terbesar sesudah al-Qur’an al-Karim.

Syaikh Najmuddin al-Ghaithiy berkata:
"Segenap kaum muslimin telah bersepakat untuk menerima kebenaran peristiwa Isra’ dan Mi’raj Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, iaitu satu malam di mana baginda diperjalankan oleh Allah ‘Azza wa Jalla dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di Palestin dan dinaikkan ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha.

Tujuan Isra’ dan Mi’raj adalah agar hamba-Nya dan Rasul-Nya (Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam) dapat menyaksikan secara langsung betapa besar kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala serta keajaiban-keajaiban ciptaan-Nya yang tidak mungkin diketahui oleh manusia di bumi dan tidak terjangkau oleh akal fikiran mereka. Ia adalah sesuatu yang hanya dapat dijangkau oleh keimanan yang mantap, teguh lagi suci.


Kita sebagai umat yang beriman menyedari bahawa mukjizat baginda yang berupa peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah sesuatu yang sungguh besar, sungguh ajaib serta mengkagumkan sesudah mukjizat baginda berupa kitab suci al-Qur’an yang sehingga sekarang – bahkan sehingga bila-bila jua dapat disaksikan (kemujizatan) isi kandungannya.Isra’ dan Mi’raj merupakan satu peristiwa yang agung kerana tiada seorang Nabi mahupun Rasul yang diberi penghormatan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk mengalaminya. Hanya Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sahaja yang diberi anugerah ini. Ia adalah satu tanda ketinggian dan keagungan baginda di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.
[Qishah al-Mi’raj (edisi terjemahan oleh A. Zakiy dengan judul Menyingkap Rahasia Isra’ – Mi’raj Rasulullah; Pustaka Setia, Bandung 2000), ms. 13]


Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kembali daripada Isra’ dan Mi’raj, baginda menerangkannya kepada kaumnya di Kota Makkah akan peristiwa yang baru dialaminya. Sebahagian daripada orang Islam yang lemah imannya mengingkari khabar tersebut dan murtad daripada Islam. Sementara yang selainnya daripada kalangan kaum kafir turut menolak khabar tersebut. Mereka menuduh baginda hanya berdusta atau setidak-tidaknya baginda hanyalah bermimpi.
Penolakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj masih berlaku sehingga hari ini daripada kalangan umat Islam. Bezanya penolakan mereka dilakukan dengan cara yang lebih halus dan licik. Lebih tepat, mereka adalah orang Islam yang beraliran modernis atau Islam Liberal yang mengunggulkan akal di atas wahyu sehingga apa jua petunjuk wahyu yang tidak logik di sisi akal mereka akan ditolak atau didustakan.

Penolakan peristiwa Isra’ dan Mi’raj masih berlaku sehingga hari ini daripada kalangan umat Islam. Bezanya penolakan mereka dilakukan dengan cara yang lebih halus dan licik. Lebih tepat, mereka adalah orang Islam yang beraliran Islam Liberal yang mengunggulkan akal di atas wahyu.


Insya-Allah melalui artikel ini penulis akan kemukakan beberapa dalih yang biasa mereka kemukakan untuk mempersoal dan menolak kemukjizatan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Kemudian diikuti dengan penjelasan bagi menjawab persoalan dan penolakan mereka. Kita mulakan dengan dalih yang pertama:

Dalih pertama:
Peristiwa Isra’ adalah sesuatu yang mustahil berlaku kerana tidak mungkin seorang manusia dapat melalui perjalanan yang jauh dalam masa yang singkat tanpa apa-apa kenderaan yang canggih.

Penjelasan:
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj memang mustahil jika diukur dengan akal tetapi tidak mustahil jika diukur dengan kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Untuk menjelaskan dalih di atas, marilah kita mengkaji firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari al-Masjid Al-Haram (di Makkah) ke al-Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[al-Isra’ 17:01]


Allah ‘Azza wa Jalla telah memulai ayat di atas dengan “Subhanallah”, kenapakah demikian? Syaikh Mutawalli al-Sya’rawi rahimahullah (1998M) menerangkan sebabnya, sekali gus menjawab persoalan mustahil atau tidak peristiwa Isra’:
Dalam menyampaikan berita terjadinya peristiwa Isra’ ini Allah Subhanahu wa Ta’ala memulainya dengan kata-kata Subhana…(Maha Suci). Kata-kata Subhana ini akan memberikan pengertian dalam hati seseorang bahawa di sana ada kekuatan yang jauh dari segala macam perbandingan, kekuatan yang jauh melampaui segala kekuatan manusia di muka bumi.

Maka makna perkataan Subhanallah ialah bahawa Allah Maha Suci Zat-Nya, Sifat-Nya dan Perbuatan-Nya dari sebarang kesamaan (dengan makhluk-Nya). Kalau ada sesuatu perbuatan atau peristiwa yang di situ Allah Subhanahu wa Ta’ala mengatakan bahawa “Dia yang melakukannya” maka saya wajib mensucikan Dia (Allah) dari segala undang-undang dan ketentuan yang berlaku untuk manusia (dalam mengukur perbuatan tersebut). Saya tidak boleh mengukur perbuatan Allah dengan perbuatan saya (kerana Maha Suci Allah daripada memiliki kesamaan dengan makhluk-Nya dalam melakukan sesuatu perbuatan). Oleh kerana itulah surah ini dimulai-Nya dengan kata-kata “Subhana” (Maha Suci) sehingga akan timbul kesan di dalam hati manusia bahawa peristiwa itu benar-benar ajaib lagi luar biasa, di luar jangkauan akal dan kemampuan manusia.
[Isra’ dan Mi’raj (edisi terjemahan oleh Noraine Abu dengan judul yang sama; Dinie Publishers, Kuala Lumpur 1994), ms. 39-40]

Di sini juga perlu dibezakan bahawa peristiwa Isra’ bukanlah atas usaha Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi ia adalah atas kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Oleh itu mustahil atau tidak peristiwa Isra’ tidak diukur dengan kemampuan Rasulullah sebagai seorang manusia tetapi diukur berdasarkan kemampuan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.

Syaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjelaskan lagi perbezaan ini:
Sesuatu pekerjaan selalunya menurut ukuran siapa yang mengerjakannya. Misalnya dikatakan si A sedang berkhutbah, maka kita harus mengukur mutu khutbah itu dengan kemampuan si A sendiri. Begitu juga, seandainya si B yang melakukannya maka kita mengukurnya dengan kemampuan si B sendiri. Kalau dikatakan si fulan memikul satu beban maka kita mengerti bahawa dia memiliki kemampuan untuk memikulnya. Jadi bentuk, model dan kualiti sesuatu perkerjaan selalu diukur berdasarkan siapa yang mengerjakannya, bukan dengan ukuran lain.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan (mengisra’kan) hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari".[al-Isra’ 17:01]
Dari ayat ini jelas bahawa yang “mengisra’kan” yakni yang melakukan perbuatan Isra’ adalah Allah. Dia bertindak sebagai subjek manakala Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai objek. Jadi perbuatan “mengisra’kan” harus diukur dengan kriteria yang berlaku untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan dengan kriteria yang berlaku untuk Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam kerana baginda tidak berkata “Aku telah berisra’ sendiri aku.”
……
Oleh itu membandingkan perbuatan Isra’ kepada kemampuan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam adalah tidak benar. Kalau hendak diukur kualiti (atau kemampuan) perbuatan “mengisra’kan” , hendaklah ia diukur dengan kemampuan Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana Dia-lah yang melakukannya. Dalam peristiwa Isra’ ini Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam telah dibawa oleh satu kekuatan yang di luar kekuatan atau kemampuan dirinya sendiri, yakni oleh kekuatan (Allah Subhanahu wa Ta’ala) yang tidak dapat diukur dengan apa jua.
[Isra’ dan Mi’raj, ms. 43-44]

keseluruhan peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah dibawah kekuasaan Allah Subhanahu wa Ta’ala yang tidak boleh diukur benar atau tidak berdasarkan apa-apa ukuran manusiawi. Ini kerana Maha Suci Allah daripada memiliki apa-apa persamaan dengan makhluknya, sama ada dari segi Zat, Sifat mahupun Perbuatan.
Firman Allah:
"Tiada sesuatupun yang semisal dengan-Nya; dan Dia-lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. "
[al-Syura 42:11]
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya".
[al-Ikhlas 112:04]

Kesimpulan:
Kemusykilan dan penolakan ke atas peristiwa Isra’ dan Mi’raj bukanlah sesuatu yang baru di dalam sejarah umat Islam. Ia sudah muncul sejak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam kembali daripadanya dan mengkhabarkannya kepada kaumnya. Setelah itu ia tetap muncul di sana sini sehinggalah ke hari ini. Ini kerana akan sentiasa ada di kalangan umat Islam mereka yang mengunggulkan akal di atas wahyu. Mereka menggunakan akal untuk menilai peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Apa yang selari dengan logik akal mereka terima, apa yang tidak selari mereka tolak atau ubah suai. Sayang sekali penolakan dan pengubah-suaian mereka amat lemah lagi rapuh, selari dengan kelemahan dan kerapuhan akal mereka sendiri.
Di sini sikap kita yang benar ialah meletakkan akal pada tempatnya. Kita memanfaatkan akal di tempat yang merupakan wilayahnya dan kita mendiamkan akal di tempat yang bukan merupakan wilayahnya. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj bukanlah wilayah akal. Justeru akal tidak memiliki peranan dalam menilai benar atau palsu peristiwa Isra’ dan Mi’raj melainkan sekadar berfikir untuk mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.

Hendaklah kita mencontohi sikap Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu 'anh di mana apabila beliau ditanya tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj, beliau menjawab:
Ya, aku membenarkan baginda (Rasulullah), malah terhadap apa yang lebih jauh daripada itu. Aku membenarkan khabar langit (yang Rasulullah bawa).
[Fath al-Bari (tahqiq Fu’ad ‘Abd al-Baqi), jld. 7, ms. 199]


Sikap kita yang benar ialah meletakkan akal pada tempatnya. Kita memanfaatkan akal di tempat yang merupakan wilayahnya dan kita mendiamkan akal di tempat yang bukan merupakan wilayahnya.

wallahu a'lam..

No comments:

Post a Comment